Musa Aman nafi intimidasi jenayah terhadap TYT Sabah

Bernama
Mei 24, 2018 22:37 MYT
Musa suara rasa kesal kerana terpaksa mengheret Juhar dalam writ saman difailkan terhadap TYT dan Presiden Parti Warisan Sabah. - Bernama
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menafikan semua dakwaan terhadapnya tentang intimidasi jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin atau mana-mana orang lain.
Peguam Musa, Zahir Shah berkata demikian susulan laporan polis oleh Juhar terhadap pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu pada 19 Mei lalu.
Beliau berkata Musa menyuarakan rasa kesal kerana terpaksa mengheret Juhar dalam writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap TYT dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon pengisytiharan untuk kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.
"Tan Sri Musa menambah pada akhirnya, kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dan peruntukan Perlembagaan Sabah mesti dihormati dan dipatuhi," kata peguam itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Minggu lalu, Juhar membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai ada kaitan dengan upacara angkat sumpah jawatannya sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), 9 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri selepas BN bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, dua hari kemudian, Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas enam Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN berpaling tadah kepada Warisan..
Enggan meletak jawatan, pada 14 Mei lalu, Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri, Abinan Asli menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.
Sementara itu, polis hari ini meminta Musa tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk diambil keterangan berhubung laporan polis dibuat oleh Juhar.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Beliau berkata setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan sembilan saksi dalam kes tersebut.
-- BERNAMA
#ADUN #Barisan Nasional #jenayah #kerajaan #Ketua Menteri #mahkamah #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU #Sabah #siasatan #Tun Juhar Mahiruddin #undang-undang
;