Musa Aman nafi dakwaan salah laku ketika jadi Pengerusi Yayasan Sabah
Ruzaini Zulkepli
Jun 19, 2020 17:15 MYT
Jun 19, 2020 17:15 MYT
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, menafikan dakwaan terbabit dalam sebarang salah laku ketika menjadi Pengerusi Yayasan Sabah.
Peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pada Jumaat, mendakwa tuntutan RM872 juta yang difailkan yayasan itu terhadap Musa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Selasa lalu, berkemungkinan bermotifkan politik.
"Anak guam kami menafikan dakwaan melanggar mana-mana tugas (tanggungjawab) sebagai Pengerusi Yayasan Sabah dari 2003 hingga 2018 dengan dakwaan itu dilihat berniat jahat dan palsu sama sekali.
"Selain itu, adalah tidak wajar dan meragukan kerana kami mengetahui saman Yayasan Sabah itu melalui laporan serta kenyataan media," dakwanya dalam kenyataan berkenaan.
Jelas Tengku Fuad, kebiasaannya apabila sesuatu saman atau tuntutan difailkan, dokumen dan kertas tuntutan akan diserahkan kepada pihak defendan atau peguam.
"Dalam kes ini, Tan Sri Musa mahupun saya tidak menerima apa-apa dokumen," katanya.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria pada Jumaat membuat sidang media, memberitahu pihaknya mewakili Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, memfailkan tuntutan sebanyak RM872 juta terhadap Musa berhubung wang yang didakwa hilang akibat perjanjian aktiviti pembalakan meragukan.
#Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu
#peguam
#Pengarah Yayasan Sabah
#Pengerusi Yayasan Sabah
#saman
#Tan Sri Musa Aman
#Tengku Fuad Tengku Ahmad