Musa Aman Ketua Menteri Sabah paling lama, luas pengalaman
Bernama
Disember 17, 2024 13:17 MYT
Disember 17, 2024 13:17 MYT
KOTA KINABALU: Tun Musa Aman yang menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini merupakan Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat untuk Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ahli politik berpengalaman luas berusia 73 tahun itu telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003 dan memegang jawatan nombor satu Sabah itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018.
Beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga selama enam penggal bermula 1994 hingga 2020, dan pernah memegang jawatan penting, antaranya Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.
Menyingkap sejarah anak jati Beaufort yang dilahirkan pada 30 Mac 1951 itu, Musa mula bertanding pada Pilihan Raya Raya Negeri Sabah 1990 mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut di Sandakan, tetapi tewas. Beliau turut memainkan penting semasa UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah dan dilantik sebagai Bendahari Penaja UMNO Sabah yang pertama, menjadi Ketua Bahagian Umno Libaran sebelum dilantik sebagai BendahariBarisan Nasional (BN) Sabah pada tahun 1992.
Pilihan Raya Negeri Sabah 1994 merupakan detik bersejarah dalam karier politik Musa apabila beliau dipilih untuk mewakili BN buat kali pertama pada pilihan raya negeri itu dan seterusnya memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga dalam pertandingan pertandingan empat penjuru.
Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN itu selama enam penggal sehingga Pilihan Raya Negeri Sabah 2018.
Bekas Ketua Menterri Sabah itu yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah bermula pada tahun 2013 hingga 2018, tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.
Selain politik, Musa juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran luas dalam perniagaan serta pernah diberi kepercayaan antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Pengarah Yayasan Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd dan Pengerusi Sabah Softwood Sdn Bhd.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, dan Presiden Dewan Perdagangan Bumiputera Sabah (DPBS).
Musa mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kerajaan Mempagar, Limbawang, Beaufort dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah St Paul Beaufort, sebelum berpindah ke Maktab Sabah dan menamatkan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu.
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Edith Cowan University, Australia.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 2017 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada Sept 2017 dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (Kelas Pertama) (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada 2006.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Faridah Tussin serta dikurniakan empat cahaya mataiaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
Musa menggantikan Tun Juhar Mahirudin yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.
-- BERNAMA