Musa Aman angkat sumpah petang ini?

Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 24, 2018 13:12 MYT
Musa yang kembali ke tanah air Selasa lalu selepas hilang sejak 14 Mei, diberikan tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah. - Gambar fail
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka akan mengangkat sumpah petang ini sekiranya beliau hadir ke Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali menjelaskan, tiada sebarang surat mahupun pemberitahuan jelas berhubung perkara ini.
"Saya tidak dapat sahkan sama ada Musa akan hadir atau tidak. Ini kerana tiada surat yang saya terima setakat ini.
"Upacara itu mungkin sekadar khabar angin. Jika Musa hadir hari ini, kita akan adakan upacara angkat sumpah antara pukul 2.30 hingga 5 petang ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Musa yang kembali ke tanah air Selasa lalu selepas ‘hilang’ sejak 14 Mei, diberikan tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah dan jika gagal, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dimenanginya akan terbatal.
Sementara itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pembebasan itu selepas polis gagal mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.
"Namun siasatan berkaitan kes tersebut dijangka akan dikemukakan oleh PDRM ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 27 Ogos ini.
"Dalam masa yang sama polis memberi jaminan siasatan ke atas bekas pemimpin tertinggi Sabah itu akan dijalankan secara adil mengikut peruntukkan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini.
#DUN #hilang #Ketua Menteri #Musa Aman #Sabah #Sungai Sibuga #Syed Abas Syed Ali
;