Murid termakan kaca: Pihak bertanggungjawab akan kena tindakan tegas - Najib

Bernama
Mac 1, 2016 22:32 MYT
melalui blog NajibRazak.com, Perdana Menteri mengulas insiden tujuh murid SJKT Ladang Nigel Gardner di Hulu Selangor yang termakan mi didakwa mengandungi serpihan kaca halus. - Foto Astro AWANI
Datuk Seri Najib Razak hari ini berkongsi perasaan marah dan kecewa bersama ibu bapa pelajar yang dilaporkan termakan kaca dalam mi goreng di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor, baru-baru ini.
Sambil berharap dan berdoa pelajar-pelajar yang terlibat berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan, Perdana Menteri mahu siasatan rapi dijalankan untuk mengenal pasti masalah yang timbul dalam prosedur operasi standard agar peristiwa sama tidak berulang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab mendatangkan bahaya dan mengakibatkan kecederaan terhadap murid-murid ini.
"Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia juga akan memberikan penjelasan yang memuaskan kepada ibu bapa berkenaan kejadian ini," katanya menerusi entri terbaharu di blognya NajibRazak.com pada Selasa.
Perdana Menteri berkata program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah program yang baik untuk membantu pelajar yang memerlukan tetapi jika timbul masalah dalam pelaksanaannya, ia akan menjejaskan imej dan hasrat program murni itu.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan tujuh murid sekolah tersebut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Jumaat lepas, selepas termakan sarapan yang didakwa mengandungi serpihan kaca halus.
Serpihan kaca halus itu didakwa ditemui dalam makanan program RMT yang disediakan untuk murid sekolah berkenaan.
#kaca dalam mi #Najib Razak blog #pelajar termakan kaca
;