Murid termakan kaca: Keputusan ujian diketahui dua minggu lagi - Subramaniam

Rahimah Abdullah
Mac 3, 2016 18:24 MYT
SUBRAMANIAM: Keputusan ujian ke atas makanan yang didakwa mengandungi serpihan kaca itu akan diketahui dua minggu lagi. -Gambar fail
Keputusan ujian ke atas sajian yang didakwa mengandungi serpihan kaca yang dimakan tujuh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor akan diketahui dua minggu lagi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata ketika ini, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan siasatan mengenai kes berkenaan dapat diselesaikan segera.
BACA: Murid termakan kaca dalam mi goreng RMT masih dirawat - P. Kamalanathan
Menurut Subramaniam, kedua-dua kementerian pada masa sama masih menyiasat tindakan pengusaha berkenaan yang dikatakan memasak dan menyediakan makanan di rumah dan bukan di dapur kantin sekolah.
"Namun, sumber (dari mana kaca) itu masih dalam siasatan, tetapi langkah penangguhan operasi kantin itu dibuat serta merta, dan pengganti untuk menyediakan makanan telah dilantik," katanya lagi.
BACA: Kementerian Pendidikan gantung syarikat pembekal mi goreng 'kaca'
Siasatan antara lain dilakukan bagi mengenal pasti sama ada serpihan kaca halus itu datang dari dapur rumah pengusaha itu atau dari kawasan lain.
"Satu isu ialah kalau pengusaha dibenar masak di rumah mereka, keselamatan dan kebersihan dapur menjadi isu.
"Macam mana pemantauan itu boleh dibuat. Kalau di sekolah, senang pantau sebab ada guru dan jawatankuasa yang bertanggungjawab," tambahnya.
Justeru, katanya, isu pengusaha kantin memasak di rumah akan dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan pengusaha kantin mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Saya melihat kalau pengusaha kantin memasak di rumah, perlu ada satu ada garis panduan kalau dibenar berbuat demikian untuk memastikan tempat memasak dalam keadaan baik. Ini akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan," ujar Subramaniam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Mobile IDengue hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian minggu lalu, tujuh murid dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas menjamah sarapan yang dipercayai mengandungi serpihan kaca halus di kantin sekolah mereka.
Kejadian ini turut mendapat perhatian perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluahkan perasaan marah dan kecewa di blognya pada Selasa dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
BACA: Murid termakan kaca: Pihak bertanggungjawab akan kena tindakan tegas - Najib
#Ladang Nigel Gardner #Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil #serpihan kaca #subramaniam #tujuh pelajar
;