Murid Tahun Satu maut dilanggar van sekolah dinaikinya
Astro Awani
November 12, 2021 23:20 MYT
November 12, 2021 23:20 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang murid perempuan Tahun Satu maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di hadapan sebuah pusat transit di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari’at, berkata dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu van iaitu perempuan berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, memandu ke hadapan tanpa menyedari telah melanggar mangsa yang juga merupakan penumpang van tersebut.
"Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu terbabit.
"Sebelum kejadian, mangsa telah diambil oleh pemandu van tersebut dari sebuah sekolah berhampiran dan dihantar ke pusat transit sebelum ke sekolah KAFA," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala dihantar ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia jam 2.30 petang tadi.
Beliau berkata, pemandu van sekolah tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu, tular di media sosial