Murid Tahun Satu mati dibelasah murid Tahun Enam di Kapit
Rudi Affendi Khalik
Ogos 24, 2017 23:55 MYT
Ogos 24, 2017 23:55 MYT
Ditumbuk, diterajang dan mulut ditekup selimut.
Akhirnya derita seorang murid Tahun Satu di sebuah sekolah berasrama di sini berakhir tragis pada petang Khamis, selepas tiga hari dibelasah teruk oleh murid Tahun Enam di sekolah yang sama.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Amer Awal ketika dihubungi sebentar tadi, mengesahkan mangsa menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 petang tadi di Hospital Sibu, setelah parah di kepala akibat dipukul dan lebam di badan.
"Siasatan awal mendapati mangsa telah dibelasah di asramanya pada tengah malam Selasa sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran, apabila keadaannya bertukar teruk.
Tidak menyembunyikan kebimbangannya terhadap insiden membabitkan murid sekolah yang semakin meningkat, Amer telah mengarahkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut yang akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freedy Bian.
"Suspek yang berusia 12 tahun telah kita tahan untuk disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.
"Bagaimanapun dia dibebaskan dengan jaminan polis kerana akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada September depan," ujarnya.
Polis katanya, akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut untuk memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.