Murid Tahun Lima maut, lori terbabas dilanggar kereta
Sinar Harian
November 1, 2024 16:15 MYT
November 1, 2024 16:15 MYT
KUALA NERUS: Seorang murid Tahun Lima maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Kampung Panchur Kuin dekat Padang Kemunting, Batu Rakit, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 9 pagi itu menyebabkan mangsa, Syed Iman Thaqif Syed Ahmad Rasullan, 11, yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika Perodua Aruz dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Honda Jazz dari arah Kampung Titian Baru menghala ke Kota Bharu.
"Ketika tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba sebuah Proton Wira hilang kawalan lalu terlanggar sebuah lori yang dipandu dari arah bertentangan.
"Lori berkenaan terbabas dan terlanggar dua kenderaan tersebut (Perodua Aruz dan Honda Jazz).
"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Marang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, mangsa beralamat di Kampung Paya Resak, Bukit Payong telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
"Tujuh lagi mangsa yang menaiki Perodua Aruz termasuk pemandu telah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
"Turut menerima rawatan ialah pemandu lori yang dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang penumpang yang sakit pada bahagian dada.
"Selain itu, dua pemandu dan enam penumpang menaiki dua lagi kenderaan iaitu Proton Wira dan Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami kecederaan," ujarnya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -- Sinar Harian