Murid Tahun Enam mati akibat disengat tebuan di Mersing

Bernama
September 24, 2018 04:22 MYT
Tebuan dipercayai menyerang apabila kumpulan kanak-kanak tersebut membaling pokok kelapa dengan kayu dan balingan terkena sarang tebuan. - Gambar hiasan
Seorang murid Tahun Enam meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan dalam satu kejadian di Kampung Tanjung Genting, dekat sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing berkata pada kejadian jam 5.15 petang Isnin, Mohd Faiz Hatim Zaidi, 12, dipercayai diserang tebuan bersama empat rakannya yang lain.
"Dipercayai kumpulan kanak kanak tersebut telah membaling pokok kelapa dengan kayu untuk mendapatkan buahnya apabila kayu yang dibuat balingan telah terkena sarang tebuan yang berada berdekatan pokok kelapa tersebut.
"Akibatnya, tebuan tersebut telah menyerang kumpulan kanak kanak tersebut yang kesemuanya pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk, dekat sini," kata beliau ketika dihubungi.
Cyril berkata Mohd Faiz telah disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Mersing manakala seorang lagi rakannya masih ditahan di hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, tiga lagi mangsa selamat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#Cyril Edward Nuing #kampung tanjung genting #maut #meninggal dunia #Mersing #Mohd Faiz Hatim Zaidi #murid #pokok kelapa #sarang tebuan #Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk #sengat #Tahun Enam #tebuan
;