Murid tahun empat maut terjerut ketika main tali rafia
Bernama
Oktober 3, 2017 19:57 MYT
Oktober 3, 2017 19:57 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas terjerut tali rafia ketika bermain dengan tali yang tergantung di buaian rumahnya di Pangsapuri Ria, Lebuh Bengali di sini semalam.
Jurucakap polis berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah malam oleh keluarga mangsa yang memaklumkan insiden tersebut.
"Berdasarkan siasatan awal, nenek mangsa memaklumkan kanak-kanak itu bermain sendirian di dalam biliknya dan ketika wanita berkenaan hendak memanggilnya untuk makan malam, dia mendapati cucunya itu terbaring di lantai.
"Pemeriksaan mendapati terdapat tali rafia di leher kanak-kanak itu dan sebahagian lagi tali berkenaan masih tergantung di buaian tersebut. Polis percaya dia bermain dengan tali tersebut sebelum terjerut sendiri," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata semasa kejadian hanya mangsa dan nenek serta datuknya berada di rumah mereka manakala ibu bapanya keluar mengambil kakaknya dari kelas tuisyen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Abdul Aziz Daud ketika dihubungi berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan mayat anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya.
-- BERNAMA