Murid tahun dua dakwa dicabul dalam stor sekolah di Dungun

Astro Awani
Ogos 25, 2016 00:43 MYT
Imej dari rakaman CCTV menunjukkan suspek yang berlegar-legar dalam kawasan sekolah.
Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia lingkungan 20-an kerana disyaki cuba mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan tahun dua di sebuah sekolah di Dungun, Terengganu, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi berkata suspek dipercayai memanjat pagar belakang untuk memasuki kawasan sekolah terbabit yang tidak mempunyai pengawal keselamatan untuk mencabul mangsa.
"Rakaman percakapan pengadu iaitu ibu mangsa serta guru kelas telah diambil dan rakaman video litar tertutup (CCTV) juga telah diteliti...berdasarkan siasatan awal, mangsa yang telah tamat persekolahan waktu pagi dan menunggu sesi kelas petang didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali yang memintanya ke stor.
"Tanpa banyak soal, mangsa mengekori suspek, setibanya di stor itu, mangsa enggan mengikut suspek masuk ke dalam stor tersebut hingga menyebabkan suspek terus mendukung mangsa ke dalam stor," katanya pada Rabu.
Sementara itu menurut ibu mangsa yang dikenali sebagai Nor, dia dan suaminya bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Pada mulanya dia mengganggap anaknya hanya mereka cerita, namun selepas ditunjukkan rakaman CCTV, dia segera membuat laporan polis.
Sementara itu mangsa pelajar tahun dua menceritakan dia dipanggil suspek dari bilik darjah untuk ke dewan yang terletak berhampiran sekolah.
Suspek kemudiannya membawa mangsa dengan mendukungnya ke sebuah stor di kawasan sunyi di bahagian belakang sekolah sebelum mendakwa cuba mencabulnya.
Jeritan meminta tolong mangsa mengakibatkan suspek panik dan melarikan diri melalui pagar di belakang kawasan sekolah.
Gerakan memburu suspek kini giat dijalankan di sekitar daerah Dungun dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana niat hendak mencabul.
#ahmad zailani yaakub #CCTV #Cubaan mencabul #Dungun