Murid Tahun 4 sempat hadir sambutan Aidilfitri di sekolah sebelum maut digilis lori
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 19, 2022 21:55 MYT
Mei 19, 2022 21:55 MYT
BUKIT MERTAJAM: Seorang murid perempuan Tahun Empat maut digilis lori selepas motosikal diboncengnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Baru, Alma, di sini, pada Khamis.
Mangsa berusia 10 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dalam kejadian jam 1.45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal iaitu ibu kanak-kanak berkenaan hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
"Wanita itu sempat menyelamatkan diri, namun anaknya yang membonceng digilis lori yang datang dari arah sama dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam bagi urusan bedah siasat, manakala penunggang cedera ringan dan dirawat di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, tular di media sosial saksi mendakwa kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolahnya di Bukit Mertajam.
Mangsa dikatakan sempat menyertai majlis sambutan Hari Raya di sekolahnya sebelum terbabit nahas.
Menurut saksi, mangsa kelihatan ceria dan sentiasa tersenyum sepanjang majlis tersebut.