Murid tadika cedera van terbabit kemalangan dengan lori simen

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 26, 2019 12:39 MYT
Empat kanak-kanak tadika cedera dalam kemalangan ini.
Empat kanak-kanak tadika cedera selepas van yang mereka naiki bersama 15 penumpang lain termasuk guru terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori simen pada Sabtu pagi.
Kemalangan berlaku di hadapan Balai Polis Simpang Ampat, Nibong Tebal kira-kira jam 9. 41 pagi itu turut menyebabkan pemandu lori simen mengalami kecederaan akibat tersepit di dalam kenderaannya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, ketika kejadian, van tersebut dinaiki lima penumpang dewasa dan sembilan kanak-kanak tadika.
Pihaknya menerima panggilan pada jam 9.41 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap.
"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah van dengan sebuah lori simen. Terdapat 15 mangsa termasuk sembilan kanak-kanak terbabit dalam kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya empat daripada kanak-kanak terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan.
Katanya, kerja-kerja menyelamat turut dilakukan bagi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit.
#Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap #Balai Polis Simpang Ampat #kanak-kanak tadika #kemalangan #lori simen