Murid stres bukan sebab UPSR tapi sikap sekolah, ibu bapa kejar gred A - Dr Anuar Ahmad

Khalis Khadir
November 28, 2024 08:00 MYT
Selasa lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan ia kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 dengan tujuan mengurangkan tekanan pelajar sekolah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sistem peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bukan faktor utama pelajar sekolah tertekan.
Sebaliknya, menurut Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Dr Anuar Ahmad, emosi anak-anak terganggu berpunca daripada sikap segelintir pihak sekolah dan ibu bapa yang terlalu mengejar pencapaian gred A.
“Cuba kita tengok zaman dahulu, kita dapati ibu bapa, guru dan anak-anak ada pemikiran yang sama iaitu untuk menjayakan mereka dalam peperiksaan.
"Tidak dinafikan, sudah tentu anak-anak akan alami sedikit tekanan, tetapi dari sudut psikologi ia adalah stres yang positif.
“Dengan stres itu anak-anak akan buat persiapan, disiplinkan diri, selesaikan kerja rumah, beri perhatian sepenuhnya, apabila pulang ke rumah buat kerja dengan teliti.
"Ini semua perkara baik yang akan tingkatkan keupayaan anak-anak dalam proses pembelajaran sebab mereka tahu di hujung tahun mereka berdepan peperiksaan,” katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi di Astro AWANI semalam.
Pantau Agenda Reformasi: Mansuh peperiksaan di sekolah untuk kurangkan tekanan murid
Pada Selasa, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 dengan tujuan mengurangkan tekanan pelajar sekolah.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, bagi mengatasi isu berbangkit, KPM mengambil pendekatan berasaskan pertanyaan, eksplorasi, mengikut konteks, pengalaman serta pentaksiran sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.
Anuar berkata, beliau tidak menafikan kewajaran kerajaan untuk mengekalkan pemansuhan berkenaan namun ia juga perlu mengambil kira pelbagai faktor.
Antaranya, isu kepadatan pelajar dalam satu bilik darjah yang masih belum diatasi sepenuhnya hanya merencatkan penilaian murid kerana mereka tidak berada dalam suasana kondusif.
Beliau menyimpulkan, banyak perkara asas lain yang perlu ditambah baik termasuk isu silibus berat dan tidak fleksibel sehingga menyukarkan kebebasan guru dalam menyampaikan sesi pengajaran.
#Fadhlina Sidek #Anuar Ahmad #mansuh peperiksaan #Kementerian Pendidikan
;