Murid SK Tambun pening bau sampah setiap hari
Sinar Harian
Jun 11, 2024 14:35 MYT
Jun 11, 2024 14:35 MYT
IPOH: Bau sampah meloyakan dari tong sampah pasar terletak tidak sampai 50 meter dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun di sini didakwa mengganggu tumpuan murid terutama kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Ringkasan AI
- Bau sampah dari tong sampah pasar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun dikatakan mengganggu murid, terutama murid dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
- Persoalan ini tidak baru, tetapi berlarutan sejak 2018, dan menyebabkan murid-murid PPKI belajar dalam keadaan tidak selesa.
- Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Tambun telah membawa masalah ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), serta pihak berkuasa tempatan lain untuk mencari penyelesaian. Program Turun Padang telah dijalankan untuk melihat masalah tersebut, dan setelah ulasan teknikal diterima, peruntukan akan disalurkan untuk penyelesaian.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Tambun, Amin Nur Fikry Yusof berkata, masalah itu bukan baharu malah sudah berlarutan sejak 2018.
Menurutnya, sejak lebih lima tahun itu, murid-murid PPKI terpaksa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam keadaan tidak selesa.
"Ketika ini terdapat seramai 77 orang murid kurang upaya pelbagai kategori berada di sekolah ini. Seperti yang semua sedia maklum kanak-kanak PPKI di sini sangat sensitif terhadap persekitaran. Bukan sahaja tumpuan mereka terganggu tetapi kesihatan juga terjejas.
"Lebih memburukkan lagi keadaan, bangunan kelas mereka sering dinaiki air dan berlaku banjir kilat jika setiap kali hujan lebat. Air berbau busuk yang membawa bersama sampah akan masuk ke dalam kelas mereka," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Nur Amin Fikry berkata, setiap kali banjir kilat, pihak sekolah dan PIBG terpaksa bergotong-royong membersihkan kelas dan beberapa bilik lain yang terjejas sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.
Jelasnya, masalah tersebut sudah beberapa kali dibangkitkan oleh ibu bapa sama ada melalui mesyuarat PIBG mahupun di dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan Telegram sekolah untuk meminta penyelesaian segera.
Sehubungan itu katanya, pihak PIBG telah memanjangkan permasalahan berkenaan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi ahli majlis, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan Pejabat Ahli Parlimen Tambun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Sabri ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa berkata, pihaknya sudah mengambil maklum masalah dihadapi sekolah berkenaan susulan aduan dikemukan pihak PIBG.
Katanya, Program Turun Padang telah diadakan pada Isnin bagi melihat dengan lebih dekat masalah tersebut serta mencari penyelesaian agar kejadian tidak berulang.
"Semalam (Isnin) kita buat Program Turun Padang bersama beberapa agensi seperti MBI, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) termasuk wakil PIBG bagi melihat secara dekat masalah tersebut.
"Kita sedang menunggu ulasan teknikal daripada jabatan berkaitan mengenai punca dan penyelesaian terhadap masalah berkenaan," katanya.
Menurutnya, selepas ulasan teknikal tersebut diterima, peruntukan akan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk memastikan isu tersebut diatasi. - Sinar Harian