Murid Orang Asli SK Tohoi yang masih hilang Sasa - Polis

Muhafandi Muhamad
Oktober 23, 2015 15:07 MYT
Hasil ujian DNA yang dijalankan satu mayat dan satu rangka yang ditemui masing-masing disahkan sebagai Linda Rosli, 8, dan Haikal Yaakob, 8.
Polis mengesahkan seorang lagi murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang masih belum ditemui selepas sesat dalam hutan bersama enam rakannya pada 23 Ogos lalu ialah Sasa Sobrie, 8 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata hasil ujian deoksirinobukleik (DNA) Jabatan Kimia, Petaling Jaya mengesahkan satu mayat dan satu rangka yang ditemui masing-masing disahkan sebagai Linda Rosli, 8, dan Haikal Yaakob, 8.
Beliau berkata, spesimen 'Tohoi 1' yang dijumpai dalam keadaan mereput kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi ialah Linda Rosli yang menunjukkan pertalian sehingga 99.99 peratus dengan Rosli Alik dan Hamisah Oshen.
Manakala, katanya, hasil spesimen 'Tohoi 2' iaitu rangka kanak-kanak ditemui 1.3 kilometer dari Pos Tohoi adalah milik Haikal Yaakob, 8, iaitu anak kepada Midah Angah.
"Menerusi rakaman percakapan Norieen Yaakob dan Mirsudiar Aluj pihaknya akan menumpukan operasi di kawasan Sungai Perias dan Sungai Nenggiri dengan menggunakan bantuan 3 bot polis marin dan bot pancung milik penduduk kampung," katanya di sini, hari ini.
BACA: Kes murid SK Tohoi: Ujian DNA sahkan milik Juvina dan Ika
BACA: Kisah sebenar tragedi kehilangan murid Orang Asli SK Tohoi
BACA: Kronologi: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi, Gua Musang
Setakat ini, operasi mencari diteruskan dengan membabitkan 128 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Gerakan Am, RELA, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Pendidikan Negeri.
#Gua Musang Mazlan Lazim #Haikal Yaakob #Linda Rosli #Orang Asli #Sasa Sobrie #SK Tohoi