Murid Orang Asli SK Tohoi hilang: Keluarga cam rangka ditemui adalah Juvina
Bernama
Oktober 11, 2015 15:14 MYT
Oktober 11, 2015 15:14 MYT
Anggota keluarga Juvina David, 7, mengecam bahawa rangka yang ditemui di Sungai Perias, Pos Tohoi semalam adalah milik kanak-kanak itu.
Bapanya David Kuasam, 32, berkata isterinya Shela Omar, 26, mengecam rangka berkenaan berdasarkan rantai leher manik dan getah ikat rambut pada pergelangan tangan rangka berkenaan.
"Selepas penemuan rangka pada sebelah pagi, isteri saya dipanggil ke Pusat Operasi SAR di SK Tohoi untuk membuat pengecaman dan dia cakap kemungkinan besar rangka yang ditemui semalam itu adalah anak kami berdasarkan rantai leher dan gelang getah itu.
"Isteri saya masih mengecam kedua-dua barangan berkenaan, bagaimanapun dia tak dapat kenal pasti pakaian yang dijumpai berdekatan rangka itu kerana telah berubah warnanya," katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang untuk menjalani ujian DNA hari ini.
Rangka tersebut ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dua mangsa dijumpai selamat bersama satu mayat pada Jumaat.
David bagaimanapun berkata mereka akan menunggu keputusan ujian DNA yang dijalankan untuk pengesahan anaknya.
Sementara itu Rosli Alik, 31, bapa kepada Linda, 8, berkata keluarganya tidak mahu membuat sebarang andaian tentang nasib anaknya yang masih hilang dan akan menunggu sehingga keputusan DNA dikeluarkan.
"Kita tak tahu rangka itu milik kanak-kanak mana. Kami hanya akan berpuas hati selepas keputusan DNA dikeluarkan," katanya.
Juvina dan Linda adalah antara tujuh murid Orang Asli dari SK Tohoi yang melarikan diri dari asrama sekolah mereka pada 23 Ogos lepas.