Murid murung: Kementerian Pendidikan akan beri garis panduan tambahan

Bernama
Mei 12, 2017 22:45 MYT
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) ditemu bual pemberita ketika menziarahi keluarga Allahyarham Muhamad Ariel Hafiz Yahsin, 12, yang meninggal dunia dipercayai akibat kemurungan. - Foto Bernama
Kementerian Pendidikan akan memberikan garis panduan tambahan kepada pihak sekolah untuk mengenal pasti para pelajar yang berkemungkinan mengalami kemurungan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata menerusi garis panduan itu, pengetua dan guru besar akan berupaya menentukan bentuk tindakan yang patut diambil, sekiranya didapati ada pelajar berdepan kemurungan.
"Ini merupakan perkara serius dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.
"Kita mintalah supaya pihak guru besar sekolah dan pejabat-pejabat pendidikan daerah dapat memberi perhatian serius kepada perlakuan anak-anak (pelajar) di sekolah.
"Misalnya, dalam tempoh setahun atau dua tahun, bagaimana dia (guru) melihat perkembangan anak-anak. Kalau ada elemen kemurungan, maknanya tindakan harus diambil, barangkali dirujuk kepada kaunselor atau mungkin memanggil ibu bapa ke sekolah untuk berbincang," katanya.
Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas insiden murid tahun enam yang ditemui mati dipercayai akibat kemurungan di rumahnya di sini, Rabu lepas.
Beliau ditemui sewaktu menziarahi keluarga murid itu di Felda Cahaya Baru Masai di sini, hari ini.
Dia dipercayai murung sejak kematian ayahnya, tiga tahun lalu dan pemeriksaan awal di tempat kejadian turut tidak menemukan sebarang perbuatan jenayah, bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan, kata polis.
Menurut Mahdzir, kejadian yang berlaku itu amat mengejutkan, lebih-lebih lagi dia baru sahaja menginjak usia 12 tahun.
Tambahnya, berdasarkan laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Johor, Allahyarham didapati tidak mengalami masalah untuk hadir ke sekolah, selain tidak pernah dipanggil guru disiplin atau kaunselor berhubung masalah disiplin.
"Beliau (Allahyarham) juga adalah pengawas sekolah. Jadi, pada saya, di sekolah dia tidak nampak ada masalah disiplin walaupun pembelajaran dia hanya sederhana.
"Maknanya dia mengikuti tetapi berdasarkan apa yang diberitahu ibunya tadi, akhir-di akhir ini, beliau tidak mahu datang ke sekolah," katanya.
Sementara itu, guru kelas Allahyarham, Farah Sidin, 36, berkata arwah merupakan seorang murid yang ceria, gemar menyanyi serta tidak suka mengganggu murid-murid lain.
"Memang tidak pernah nampak dia murung, apatah lagi tanda-tanda dia dibuli.
"Dia jenis yang tidak kacau orang, jadi mustahil untuk orang lain mengacau. Dia juga hanya mempunyai beberapa rakan lelaki kerana lebih gemar bergaul dengan murid-murid perempuan," katanya.
-- BERNAMA
#Johor Bahru #Kementerian Pendidikan #Kemurungan #Mahdzir Khalid #murung
;