Murid miskin perlu kepada kaedah pembelajaran tersendiri - CEO Arba Foundation
Irfan Faruqi
Ogos 19, 2023 10:30 MYT
Ogos 19, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Murid miskin memerlukan kepada kaedah pembelajaran dan pedagogi tersendiri bagi membantu mereka menghadam silibus pendidikan.
Demikian disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation Azlan Shah Nabees Khan yang berkata, murid miskin berdepan cabaran unik yang menyebabkan mereka tidak boleh bersaing dengan anak-anak lain.
Ia termasuk isu seperti tekanan kronik dan kurang nutrisi, katanya pada program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI pada Jumaat.
“Kita lihat mengapa kanak-kanak ini pergi ke sekolah tetapi tidak berjaya. Kenapa dia tidak berjaya berbanding kanak-kanak lain yang bukan dalam kategori miskin. Kita tanyakan soalan yang lebih mendasar.
"Antara perkara yang kami temui selepas berbincang dan bertemu dengan ramai pakar adalah, berlaku kemiskinan pembelajaran di sekolah.
“Maksudnya, kalau pergi sekolah belum selesai lagi masalah, kerana metodologi dan pedagogi mengajar anak-anak miskin berbeza.
"Ada satu buku menarik yang ditulis oleh Eric Jensen, Teaching with Poverty in Mind. Mengajar dalam kerangka kemiskinan, dengan mengambil kira faktor tekanan kronik yang dialami oleh pelajar, kelaparan dan nutrisi yang tidak cukup,” katanya.
Oleh itu, Azlan Shah menyatakan sokongan kepada cadangan kerajaan mewujudkan sekolah khas bagi murid dari keluarga miskin, dengan syarat ia mesti memberi tumpuan kepada kaedah pembelajaran yang selaras dengan keperluan mereka.
Tambahnya, strategi penyediaan sekolah khas bagi golongan miskin ini tidak boleh tertumpu kepada kaedah sekolah berasrama penuh semata-mata.
Sebaliknya, tegas beliau, ia perlu mengambil kira kedudukan semasa yang menunjukkan sebahagian besar murid dari keluarga miskin menghadiri sekolah harian.