Murid maut dipanah petir ketika main bola sepak
Nazialita Geynna Maharan
Mac 24, 2016 07:26 MYT
Mac 24, 2016 07:26 MYT
Kegembiraan beberapa orang kanak-kanak yang bermain hujan berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut disambar petir.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Udin Dulkafi,12, yang berasal dari Taman Cahaya, Kampar dipercayai maut di tempat kejadian sebaik sahaja disambar petir.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata kesemua kanak-kanak itu sedang girang menantikan hujan turun di padang permainan berhampiran rumah mereka sewaktu insiden berkenaan berlaku.
"Mangsa yang asyik bermain bola sepak bersama rakannya tiba- tiba rebah secara mengejut sebaik sahaja dentuman kilat berlaku.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar bersama ibunya oleh jiran mereka yang menyaksikan perkara tersebut dan sesampai sahaja di sana, pihak perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita.
Katanya, hasil siasatan lanjut sekitar pukul 9 malam mendapati punca kematian mangsa adalah berikutan renjatan elektrik oleh panahan kilat (electric shock secondary to lightning strike).