Murid langgar polis dikenakan bon berkelakuan baik, lesen digantung 5 tahun

Sinar Harian
November 20, 2024 16:20 MYT
Tertuduh hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda. -Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan wang cagaran RM1,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di sini, pada Rabu atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu sehingga mencederakan anggota polis trafik, Julai lalu.

Ringkasan AI
  • Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan wang cagaran RM1,000 dan lesen memandu digantung selama lima tahun atas pertuduhan menunggang secara berbahaya sehingga mencederakan anggota polis trafik.
  • Kesalahan dilakukan pada 28 Julai lalu di Kilometer 36 arah Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) ketika pelajar tersebut menunggang motosikal secara melawan arus.
  • Pelajar tersebut mengaku bersalah pada 13 September lalu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bagi kesalahan tersebut.
Hukuman berkenaan dijatuhkan terhadap remaja yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda itu susulan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 13 September lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah menunggang motosikal di jalan raya dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di Kilometer 36 arah Selatan Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) di sini, pada 28 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Lima telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan jika sabit lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 28 Julai lalu, media melaporkan anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer 36 arah Selatan, Lebuhraya Lekas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus. -Sinar Harian
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #pelajar lelaki #menunggang secara berbahaya #cederakan anggota polis trafik #Lebuhraya Kajang-Seremban #lawan arus
;