Murid kelas peperiksaan di negeri PKP dibenarkan ke sekolah 20 Januari

Fareez Azman
Januari 12, 2021 17:36 MYT
RADZI: Ini hanyalah bagi sekolah yang berada dalam kawasan PKP, hanya murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM dan juga peperiksaan antarabangsa setara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sesi persekolah 2021 akan tetap bermula pada 20 Januari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di beberapa buah negeri untuk membendung penularan COVID-19.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, kebenaran ini hanya melibatkan murid menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Peperiksaan Antarabangsa.
"Bagi sekolah yang berada dalam kawasan PKP, hanya murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM dan juga peperiksaan antarabangsa setara.
"Murid lain di sekolah rendah, mereka akan melaksanakan pembelajaran di rumah, manakala murid sekolah menengah tingkatan 1 hingga 4 di negeri PKP akan melaksanakan pembelajaran di rumah," katanya.
Tambah Radzi, pelajar Kolej Vokasional bagi Semester Dua juga perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
[SIDANG MEDIA] Menteri Kanan Pendidikan
"Bagi pelajar Kolej Vokasional Semester Dua Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 juga akan mengikuti pembelajaran di rumah," katanya dalam satu sidang media yang berlangsung di ibu negara, pada Selasa.
Bagi murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan jelas Radzi dibenarkan pulang ke asrama mjulai 16 Januari ini.
"Surat kebenaran (khas) akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.
#PKPP #PKP #PKPB #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #Radzi Jidin #Sijil Pelajaran Malaysia #COVID-19 #SKM #peperiksaan #pelajar #PdPR
;