Murid ditemui dengan kesan lebam dipercayai didera ibu bapa
Bernama
Januari 16, 2015 16:37 MYT
Januari 16, 2015 16:37 MYT
Seorang murid Tahun Satu hanya bersekolah pada hari pertama persekolahan Isnin lalu dan tidak hadir pada hari-hari berikutnya.
Gurunya turut mendapati dia dalam keadaan lemah dan tidak terurus pada hari pertama persekolahan.
Mengesyaki sesuatu tidak kena dengan murid berkenaan, guru itu lalu membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata pihaknya yang pergi ke rumah murid itu di Sungai Dua di sini semalam mendapati dia dikurung di rumah itu tanpa diberi makan.
"Setelah polis memasuki rumah berkenaan yang berkunci, murid itu ditemui dalam keadaan kurus, lemah dan tidak bermaya di dalam sebuah bilik yang juga berkunci.
"Kami terpaksa mencari ayah kanak-kanak itu untuk mendapatkan kunci bagi membuka pintu rumah yang juga tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Rumah itu dalam keadaan gelap dan berselerak.
"Kanak-kanak itu hanya berkata dia lapar dan meminta makanan," katanya.
Abdul Rahman berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di lengan dan paha kanak-kanak itu yang dipercayai akibat sering dicubit.
Kanak-kanak itu dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan manakala bapa dan ibu tirinya serta lima lagi anak mereka tinggal di rumah yang bertentangan dengan rumah kanak-kanak itu dikurung, katanya.
Beliau berkata bapa kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pam atendan di sebuah stesen minyak di sini telah ditahan untuk membantu siasatan.
Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Hospital Seberang Jaya.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Dr Zaitol Salleh memberitahu Bernama pihaknya turut menerima laporan berhubung kes itu dan telah mengarahkan maklumat lengkap mengenai mangsa diperoleh.
"Kami akan pastikan dia pulih sepenuhnya sebelum sebarang tindakan susulan diambil," katanya.