Murid dipatuk ular: Bapa minta orang ramai henti kongsi gambar Nuriey Nadhirah
Madiha Abdullah
April 20, 2016 18:18 MYT
April 20, 2016 18:18 MYT
BAPA kepada pelajar tahun satu yang maut dipatuk ular, Nuriey Nadhirah Ruslan meminta orang ramai agar memahami situasi mereka sekeluarga dan tidak menyebarkan berita yang tidak sahih.
Ruslan Gazali, dalam satu status yang dimuat naik ke akaun Facebook memaklumkan cerita yang tersebar kononnya anaknya itu hidup kembali semasa dimandikan adalah satu salah faham dan tidak benar sama sekali.
Doktor yang dipanggil mengesahkan Nuriey sememangnya sudah meninggal dunia dan apa yang berlaku mungkin tindak balas udara dalam badan jenazah.
Salah faham itu terjadi kerana menurut Ruslan, jumlah hadirin yang berada di kediaman mereka di Pengkalan Chepa, Kelantan ketika itu terlalu ramai, justeru cakap-cakap antara mereka kemudiannya ditambah tokok sesetengah pihak, sehingga khabar angin yang tidak sedap didengar.
Ruslan turut meminta orang ramai agar berhenti daripada terus berkongsikan gambar anaknya dengan ikatan di kepala, kerana ia mengundang rasa sedih yang teramat bagi mereka sekeluarga.
Dia juga mengesahkan ular yang mematuk Nuriey belum ditangkap dan semua gambar ular yang tersebar, adalah rekaan sahaja.
Ruslan yang merupakan seorang petugas di bahagian logistik sebuah syarikat, sempat menyampaikan rasa terima kasih atas ucapan simpati orang ramai, di samping redha dengan pemergian anak sulungnya itu.