Murid dakwa dipukul guru disiplin kerana tidak berpakaian kemas

Adie Sufian Zulkefli
Februari 8, 2017 20:06 MYT
Naharudin (kiri) menunjukkan kecederaan dialami anaknya susulan dipukul di kepala oleh guru disiplin. -Astro AWANI
Seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dicekak dan ditumbuk di belakang kepala, muka, bahu serta disepak di kaki oleh guru disiplin di hadapan pintu pagar sekolah.
Mangsa Nahar Danial Aiman Naharudin, 16, pelajar sekolah itu di sini mendakwa tindakan diambil guru berkenaan kerana dia dikatakan tidak berpakaian kemas.
Menurutnya, sebaik tiba di sekolah pada jam 7.40 pagi, guru terbabit memarahinya kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar setelah terlewat bangun ketika bergegas ke sekolah.
“Cikgu disiplin tegur saya kerana tidak masukkan baju (ke dalam seluar). Dia ketuk kepala saya dan saya pun cakap, ‘Cikgu jangan main kepala, sakit’.
“Selepas itu, dia lepaskan penumbuk ke belakang badan saya, sepak terajang, cekak baju saya. Dia cakap, ‘Awak tak kenal aku siapa lagi’,” kata Nahar Danial.
Menurutnya, dia tidak melawan kerana bimbang akan dibuang sekolah.
Mangsa yang pernah mengalami patah bahu berasa sakit lalu bertindak menghubungi ayahnya yang ketika itu berada di rumah di Taman Merbau, Jalan Datuk Kumbar.
Jelas mangsa, kejadian ini merupakan kali kedua berlaku ke atasnya di mana sebelum ini dia pernah ditampar tahun lalu kerana berambut panjang, namun perkara itu tidak diperbesarkan.
Sementara itu, bapa mangsa Naharudin Aizan, 38, berkata dia menerima panggilan daripada anaknya jam 8.10 pagi dan terkejut dengan apa yang berlaku.
Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada isterinya Zatul Suzellah Omar, 37, lalu bergegas ke sekolah untuk membawa pulang anaknya.
Menurut Naharudin, pihak sekolah cuba berbincang, namun beliau terpaksa membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Setar kerana tindakan guru itu dianggap seperti samseng.
“Sebagai seorang pendidik, cara dia menggunakan kaki dan tangan untuk mengugut seorang budak sekolah seolah-olah menunjukkan dia guru disiplin yang samseng.
“Kalau nak samseng bukan dalam sekolah. Sebagai guru disiplin, dia tidak sepatutnya tunjuk samseng. Bila dia tunjuk cara begitu, dia mengajar seorang pelajar itu menjadi samseng,” kata Naharudin.
Tambah Naharudin, dia tidak menyalahkan guru terbabit jika cara hukuman yang dikenakan terhadap anaknya mengikut kaedah yang betul.
Beliau dalam pada itu menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap kementerian pendidikan mengambil tindakan supaya perkara ini tidak berulang.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menyelesaikan kes tersebut.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana laporan polis telahpun dibuat mengenainya oleh pelajar terbabit.
#dipukul cikgu #guru disiplin #Nahar Danial Aiman Naharudin #Naharudin Aizan
;