Murid 11 tahun maut dihempap palang tiang gol
Mirlen Axtius
Oktober 21, 2022 17:06 MYT
Oktober 21, 2022 17:06 MYT
KOTA KINABALU: Seorang murid berusia 11 tahun maut dihempap palang tiang gol semasa aktiviti sukan di padang bola Pekan Menggatal pada Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang jam 12.20 tengah hari itu, mangsa terbabit disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah salah seorang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lok Yuk, Menggatal.
Katanya, mangsa dipercayai dihempap besi palang tiang gol ketika berlangsungnya aktiviti sukan tahunan sekolah di padang berkenaan.
"Kejadian disedari oleh bapa mangsa dan juga guru sekolah kemudian bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
"Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan menaiki ambulan bagi tujuan rawatan lanjut. Namun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala akibat dihempap besi tiang gol," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian juga menunjukkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.