Murid 11 tahun dibelasah hingga maut hanya kerana RM4

Astro Awani
Mac 21, 2022 18:35 MYT
Seorang penghuni sebuah rumah anak yatim maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di Kuantan hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.
KUANTAN: Seorang penghuni sebuah rumah anak yatim maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini, semalam.
Difahamkan mangsa telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dibawa tiga pelajar lain juga penghuni asrama berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.
Penyelia asrama yang mengesyaki mangsa mengalami sawan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dan pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Ekoran itu, seorang pelajar berumur 16 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#murid 11 tahun #maut #curi RM4 #rumah anak yatim
;