Mural pudar, cacat pemandangan: Perak akan tambah baik, selenggara lokasi terjejas
Aida Aziz
Mac 24, 2023 09:31 MYT
Mac 24, 2023 09:31 MYT
IPOH: Kerajaan negeri akan memulihara dan menambahbaik semula mural yang mulai pudar dan mencacatkan pemandangan, khususnya yang banyak terdapat di bandar raya ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching bagaimanapun berkata, usaha tersebut memerlukan penglibatan ramai pihak, baik daripada kerajaan, swasta dan perseorangan.
"Mural yang ada sekarang ini, ada yang membabitkan kerjasama kerajaan, agensi, termasuk inisiatif pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Memang benar tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh dan tahun depan pula Tahun Melawat Perak, jadi kita mahu pastikan di kawasan tarikan pelancong ini tidak berlaku isu kurang menarik dan mural yang sudah pudar.
"Jadi kita akan melihat semula mural yang ada keperluan (pulihara), kena lihat lokasi mural itu asalnya diuruskan oleh NGO, swasta atau kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian semalam ketika ditanya berhubung isu mural di lorong-lorong belakang sekitar bandar raya ini yang sebelum ini menjadi tarikan pengunjung, namun kini semakin tidak terjaga dan pudar.
Ng memberitahu pemberita, sebelum ini juga pihaknya ada mengemukakan cadangan permohonan peruntukan untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebab, setakat ini, kita lihat banyak PBT di negeri yang sudah mulakan inisiatif untuk melukis mural.
"Jadi lebih baik jika boleh dapat sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khas untuk mural ini, sekali gus menceriakan bandar, kita boleh manfaatkannya.
"Sama ada nak wujudkan (mural) baharu atau selenggara mural sedia ada, setiap satu mural itu mungkin pelukisnya berlainan, kita kena semak setiap satunya untuk lihat cara terbaik pastikan mural itu kembali ceria," katanya lagi.
Terdahulu, Ng ditemui ketika program lawatan ke tapak Bazar Ramadan Stadium, di sini. Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menyerahkan goodies kepada peserta Grab Food, apron dan beg plastik biodegradasi (mudah terurai), di samping beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung bazar.