Mural memperingati 18 korban gempa bumi di Gunung Kinabalu

Bernama
Jun 14, 2015 08:42 MYT
Gempa bumi beri ilham kepada beberapa anak muda untuk mengabadikan lukisan mural pada dinding konkrit di Memorial Perang Kundasang. -Gambar fail
Gempa bumi di Ranau baru-baru ini yang mengorbankan 18 pendaki termasuk malim gunung memberi ilham kepada beberapa anak muda untuk mengabadikan lukisan mural pada dinding konkrit di Memorial Perang Kundasang.
Lukisan mural yang mula dicetuskan oleh seorang penduduk tempatan, Japiril Sohaimin, 51, bertujuan untuk memperlihatkan kebersamaan masyarakat, khususnya di Ranau, dalam menghadapi bencana alam di daerah ini.
Menurut Japiril, lukisan itu dihasilkan oleh 10 orang pelukis sukarelawan daripada anak-anak muda tempatan termasuk dari Kota Kinabalu dan Keningau.
"Tujuan utama lukisan mural ini dihasilkan adalah untuk membangkitkan semula semangat masyarakat di Ranau selepas kejadian gempa bumi yang menyebabkan ramai trauma," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
Beliau berkata selain memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam gempa bumi itu ia juga untuk menarik pelancong ke Kundasang.
Sementara itu, Jerome Manjat, 30, antara sukarelawan pelukis dari Pangkrok Sulap berkata mereka merasa amat bertuah kerana diberi peluang melukis pada dinding yang sebelum ini hanyalah tembok batu yang kosong.
Beliau berkata mereka memulakan lukisan mural itu pada Khamis lalu dan akan menyiapkannya secepat mungkin.
#gempa #gempa bumi #Gunung Kinabalu #Ranau #Sabah
;