Mural gergasi pemimpin negara terpaksa dipadam akibat vandalisme
Astro Awani
Julai 20, 2020 17:55 MYT
Julai 20, 2020 17:55 MYT
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam sepenuhnya lukisan mural memaparkan pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong di Seksyen U12 di sini, yang diconteng dengan perkataan tidak senonoh.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil tindakan awal dengan mengecat semula dinding terbabit dengan warna putih.
Katanya, MBSA juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian vandalisme itu.
"MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat awam mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme MBSA 2005.
"Kita juga ingin menasihatkan kepada semua pihak agar merujuk terlebih dulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti lukisan mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA," katanya.
Dalam kejadian 7 pagi tadi, mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, pelukis mural berkenaan, kecewa dengan perbuatan vandalisme terhadap karya yang dihasilkan untuk menghargai pemimpin dan petugas barisan hadapan negara.
Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan rakannya A. Hadi Ramli, 27, menyifatkan perbuaan khianat itu amat memalukan.
Kedua-dua mereka yang terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu jam 9 pagi tadi segera pergi ke lokasi berkenaan.
"Saya diberitahu mengenai mural itu diconteng oleh seorang rakan pagi tadi. Walaupun letih kerana pulang jam 4 pagi tadi, saya segera ke sana untuk memeriksa kerana sukar mempercayainya.
"Sebaik tiba, saya dapati memang benar lukisan mural itu diconteng. Nasihat kepada orang di luar sana hargailah lukisan mural hasil orang tempatan macam kami ini.
"Ini adalah tanda penghargaan kepada pemimpin dan petugas barisan hadapan. Ia juga dapat menjadi tarikan untuk pengunjung datang ke kawasan ini," katanya di sini, pada Isnin.