Mural dilengkapi teknologi AR tarikan terbaharu di Taiping Heritage Art Trail
Aida Aziz
Januari 30, 2023 13:00 MYT
Januari 30, 2023 13:00 MYT
TAIPING: Kewujudan Taiping Heritage Art Trail yang mengangkat tema Bandar Warisan menerusi mural di sini, dilengkapi teknologi terbaharu iaitu 'augmented reality' atau realiti terimbuh (AR).
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir, penggunaan dan penambahan teknologi AR-Mural ini juga dijangka mampu memberi keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Beliau berkata, lukisan mural dilukis pada dua pilihan lokasi tarikan utama iaitu di Bangunan Jalan Sultan Mansor dan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS).
"AR adalah gabungan elemen digital interaktif iaitu gambar, bunyi, animasi, model 3D serta elemen interaktif ke dalam persekitaran dunia nyata kita.
"Hanya dengan menghalakan telefon atau tablet ke arah lukisan mural, dan ia akan menghasilkan kesan animasi 3D melalui peranti anda.
"Projek Taiping Heritage Art Trail ini dianjurkan oleh Syarikat Graffite Management bersempena sambutan 150 ulang tahun Taiping pada tahun 2024.
"Dana geran diperolehi dari Arts For All Seasons (ArtsFAS), di taja dan disalurkan oleh Yayasan Hasanah bagi menjayakan projek ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, kedua-dua lukisan mural itu direalisasikan oleh tiga orang artis tempatan yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan.
"Dahulunya, lukisan besar yang menggunakan cat atau semburan pada dinding bangunan atau kawasan tertentu dilihat sebagai perbuatan vandalisme.
"Ia kerana seakan-akan merosakkan pemandangan sesebuah lokasi. Namun kini lukisan mural dilihat gaya terkini bagi menarik perhatian orang ramai mengunjunginya," katanya lagi.
Tambahnya, sehingga kini bandar Taiping mempunyai sembilan mural yang bertemakan Bandar Warisan.
Dalam pada itu, Khairul Amir berkata pihaknya turut menyasarkan kedatangan sebanyak 1 juta pengunjung ke ZTNS bagi tahun ini.
"Tahun lalu, ZTNS menerima seramai 842,722 pengunjung di Zoo Taiping (pagi) dan 125,017 pengunjung Night Safari (malam) menjadikan jumlah keseluruhan 967,739 pengunjung.
"Jumlah ini adalah tertinggi sejak penubuhan ZTNS, MPT menyasarkan kunjungan sebanyak 1 juta pengunjung tahun ini, selaras dengan hasrat Menteri Besar Perak sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Perak 2024," katanya.
#Bandar Warisan
#Taiping Heritage Art Trail
#augmented reality atau realiti terimbuh
#Majlis Perbandaran Taiping