Mural Amelia Earhart di Taiping: Akan buat pembetulan jika wujud percanggahan fakta - Exco
Aida Aziz
Julai 23, 2022 13:11 MYT
Julai 23, 2022 13:11 MYT
IPOH: Pembetulan akan dibuat jika benar terdapat percanggahan fakta bahawa juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart sebenarnya tidak pernah mendarat di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.
Ia berkait rapat dengan isu mural Amelia Earhart pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping.
Mural itu dihasilkan pada tahun 2019, namun wujud perdebatan kerana didakwa tidak relevan selain tiada bukti sahih dia pernah mendarat di lapangan terbang itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata pihaknya sudah meminta Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk menyemak fakta berhubung isu itu.
"Selalunya memang disemak (fakta), proses itu mesti ada semakan. Selalunya kita akan mohon kepada pihak terbabit juga untuk sediakan bukti bahawa fakta itu sahih.
"Mungkin ada percanggahan daripada segi pendapat di situ, saya masih belum dapat maklum balas jadi saya tak boleh komen lebih lanjut.
"Kita akan bincang semula dengan Yang Dipertua MPT, kita belum ada kepastian sama ada perkara itu betul bercanggah, tapi kalau benar kita akan membuat pembetulan di situ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli-Ahli Majlis MBI.
Nolee Ashilin menambah, pihaknya belum menerima sebarang bantahan atau rungutan berhubung hal berkenaan sebelum ini.
Ditanya apa tindakan yang akan diambil jika benar juruterbang itu tidak pernah mendarat di Taiping, Nolee Ashilin berkata pihaknya akan meminta MPT mengeluarkan kenyataan.
"Secara rasmi tiada (aduan), hanya di media sosial sahaja. Tetapi daripada persatuan dan sebagainya memang tiada bantahan.
"Saya sudah mohon MPT untuk semak semula tetapi saya belum dapat maklumat lagi. Sekiranya ada percanggahan saya akan minta MPT untuk buat kenyataan perbetulkan perkara itu," katanya lagi.
Sebelum ini wujud perdebatan dalam kalangan ahli sejarah serta di media sosial mengenai Amelia Earhart sebenarnya tidak mendarat di Tekah.
Dia dikatakan ada mendarat di Lapangan Terbang Tekah pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.
Amelia Earhart terbang antara Thailand dan Singapura dan diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Taiping pada 7 Jun 1937.
Bagaimanapun, Amelia dikatakan tidak mendarat di Taiping.
Malah, tiada foto yang menunjukkan Amelia mendarat atau berada di Lapangan Terbang Tekah.
Ini kerana jika benar dia mendarat di sini, sudah pasti ada rakaman foto kerana misi penerbangannya diikuti pihak akhbar pada masa itu dan mendapat liputan.
Sebaliknya, dalam catatannya, Amelia menyebut dia memutuskan untuk terbang terus ke Singapura sejauh 875 batu dan tiba di sana pada pukul 5.25 petang.
Dia juga menyifatkan Lapangan Terbang Kallang sebagai antara lapangan terbang tercantik dan moden pernah disinggahi.