Muntah dan loya, 33 pelajar SK Taman Pasir Putih Pasir Gudang terima rawatan

Astro Awani
Ogos 28, 2019 16:38 MYT
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.28 pagi berhubung kejadian. - Foto JBPM
Seramai 33 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih mengalami muntah dan loya ketika sesi persekolahan pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.28 pagi berhubung kejadian.
Difahamkan mereka yang terkesan telah terhidu bau busuk yang kuat sejak jam 8.30 pagi.
Kesemua 28 murid perempuan serta lima murid lelaki yang mengalami simptom itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan pada jam 9 pagi.
Katanya punca kejadian belum dapat dikenalpasti.
Namun pihaknya bersama unit Hazmat telah memberikan bantuan dengan mengambil bacaan menggunakan alat Gasmet di lima tempat kawasan sekolah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan, Ab Rahim Lamin berkata sesi persekolahan diteruskan dengan memindahkan murid yang berada di tingkat atas ke bahagian bawah.
SK Taman Pasir putih mempunyai 1,119 murid dengan dua sesi pembelajaran pagi dan petang.
#bomba #kesihatan #mengalami muntah dan loya #pelajar #pendidikan #sekolah #sesi persekolahan #Taman Pasir Putih
;