Mungkinkah EGM MCA merintis jalan untuk Dr Chua, Liow berundur?

Bernama
Oktober 19, 2013 08:08 MYT
Keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA Ahad ini akan menentukan sama ada presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai berundur secara serentak atau berentap pada pemilihan parti itu Disember ini, demikian pendapat beberapa pemimpin MCA.
Setakat ini, Liow telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti, tetapi Dr Chua belum lagi membayangkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya.
Pemimpin veteran MCA Datuk Yap Pian Hon berkata sekiranya EGM itu menerima usul untuk mencela Liow dengan sokongan lebih dua pertiga anggota perwakilan yang hadir, maka besar kemungkinan Dr Chua tidak akan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya.
"Sekiranya usul mencela Liow tidak diterima atau diluluskan dengan majoriti tipis atau kecil, maka anda tidak boleh menolak kemungkinan Dr Chua akan mempertahankan jawatannya dan berdepan dengan Liow untuk kali kedua dalam pemilihan parti Disember ini," kata bekas naib presiden MCA itu.
Sumber dalaman MCA memberitahu Bernama bahawa Dr Chua, yang menerajui parti itu selama tiga tahun tanpa memegang jawatan Kabinet atau menjadi calon pada pilihan raya umum Mei lepas, memang berura-ura untuk berundur.
Bagaimanapun, Dr Chua menyatakan beliau ingin berbuat demikian bersama-sama Liow kerana beliau percaya dengan berundur secara bersama, seorang pemimpin baharu akan muncul dan meminimumkan perebutan dalaman serta membolehkan transformasi dilakukan terhadap MCA.
Tetapi, hakikat yang ada tidaklah semudah itu kerana Liow telah menolak rancangan tersebut.
Lagi pun, berdasarkan pendapat beberapa pemimpin peringkat akar umbi bahawa bukan semua anggota perwakilan berhasrat mencela Liow, maka kemungkinan usul itu diluluskan oleh hampir 2,500 anggota perwakilan pusat hanyalah 50-50.
"Saya berpendapat kedudukannya masih 50-50 untuk usul nombor satu. Tiga usul lain akan diluluskan dengan mudah. Ia masih 50-50 kerana sesetengah penyokong CSL (Dr Chua) masih belum membuat keputusan untuk mengundinya. Sekiranya anda ingin meluluskan usul itu, anda memerlukan 75 peratus, tapi ramai juga yang berpendapat ia tidak sepatutnya sekeras itu," kata pengerusi MCA Kedah dan anggota jawatankuasa pusat parti itu Datuk Chong Itt Chew.
EGM Ahad ini akan membuat keputusan tentang empat usul. Pertama ialah untuk mencela Liow kerana keengganan beliau menerima keputusan jawatankuasa presiden dan "kegagalannya sebagai pengerusi jawatankuasa persiapan PRU13 untuk mendekati anggota peringkat akar umbi dan melawat pusat operasi utama MCA" hingga menyebabkan parti itu menerima keputusan menyedihkan pada PRU13.
Tiga usul lain ialah membatalkan resolusi parti itu yang melarang anggotanya daripada menerima jawatan dalam Kabinet, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Chong berkata usul pertama - mencela Liow - akan menentukan sama ada Dr Chua mempertahankan jawatan presiden. Sekiranya anggota perwakilan meluluskan usul pertama dengan jumlah undi yang besar, maka ia tidak memberi masalah kepada Dr Chua.
"CSL (Dr Chua) mungkin akan mempertahankan jawatan presiden sekiranya anggota perwakilan tidak meluluskan usul itu kerana hanya beliau seorang sahaja yang mampu mencabar Liow. Sekiranya usul ini diluluskan, maka terserahlah kepada Liow untuk membuat keputusan," katanya.
Yang pasti, EGM berkenaan akan menjadi medan ujian bagi kedua-dua pemimpin tersebut. Sekiranya usul untuk mencela Liow tidak diluluskan, maka Dr Chua dan Liow akan bertanding bagi merebut jawatan presiden.
"Katakanlah dua pertiga (daripada anggota perwakilan) tidak menyokong usul untuk mencela Liow. Ini bererti CSL perlu berundur. Sekiranya perbezaan undi adalah kecil, maka kedua-dua mereka akan bertarung sekali lagi pada pemilihan parti Disember ini.
"Secara peribadi, saya tidak ingin melihat perkara itu (kedua-dua mereka bertanding pada pemilihan parti). Kami harap mereka akan berundur dan memberi laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih kepimpinan parti," katanya.
Seorang lagi anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Ti Lian Ker berkata walaupun tidak syak lagi EGM ini akan menjadi medan ujian bagi Liow dan platform untuk Dr Chua mengukur sokongan sebenar yang diterimanya, tetapi jumlah undi yang diperoleh bagi usul berkenaan adalah perkara paling penting.
"Jika LTL (Liow Tiong Lai) mendapat 40 peratus, itu tidaklah teruk baginya. Apa yang perlu beliau lakukan ialah berusaha untuk mendapatkan 11 peratus lagi kerana 40 peratus yang beliau dapat itu merupakan sokongan asas baginya. Berikutan gesaan (naib presiden Datuk) Donald Lim dan (bekas setiausaha agung
Datuk Seri) Ong Ka Chuan agar anggota perwakilan menolak usul itu, maka keadaannya tidaklah semudah yang dijangka," kata Ti.
Bagaimanapun, jelas beliau, kalaupun Liow mampu memperoleh 40 peratus undi, ini tidak bermakna pertandingan antara Dr Chua dan Liow untuk merebut jawatan presiden akan menjadi kenyataan.
Beliau berkata sekiranya usul untuk mencela Liow diluluskan, walaupun dengan dengan majoriti tipis, Liow tetap perlu membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan dikenakan tindakan tatatertib oleh jawatankuasa disiplin parti.
"Sekiranya Liow digantung, maka anda tidak akan berpeluang melihat kedua-dua mereka bertanding. Ini akan membuka laluan kepada kemunculan seorang pemimpin baharu. Jika anda amati kenyataan politik penuh bijaksana oleh Datuk Wee Ka Siong (Ketua Pemuda MCA), maka anda akan mendapat isyarat tentang apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.
Wee, yang sudah mencapai had usia 45 tahun bagi sayap pemuda, mungkin menyasarkan jawatan lebih tinggi -- sama ada satu daripada empat naib presiden yang dipilih, timbalan presiden atau malah, presiden.
Dalam sidang akhbar pada Rabu, Wee dilaporkan berkata beliau akan berundur sekiranya Dr Chua tidak berundur.
Ti berkata dengan membuat kenyataan itu, Wee meletakkan dirinya pada kedudukan baik untuk menjawat satu daripada dua jawatan utama sekiranya Dr Chua dan Liow tidak bertanding bagi jawatan tertinggi parti.
#Chua Soi Lek #Liow Tiong Lai #MCA
;