Mungkin wujud salah faham isu kerja keluarkan pasir - ADUN Kupang

Sinar Harian
September 13, 2022 06:30 MYT
Kerja-kerja mengorek pasir yang dilakukan di Kampung Iboi, Kupang di Baling. -Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad tidak menolak kemungkinan wujud salah faham antara penduduk setempat dengan pihak berkaitan berhubung kerja mengeluarkan pasir dari kawasan Kampung Iboi, Kupang di Baling.
Beliau yang juga Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam kerja-kerja mengeluarkan pasir diharapkan dapat berbincang dan menyelesaikan salah faham tersebut.
Menurut beliau, kerja-kerja mengeluarkan pasir dipercayai melibatkan pasir yang diambil daripada sungai dan bukannya daripada kawasan daratan.
“Difahamkan, pihak terlibat melakukan kerja mengorek untuk mendalamkan sungai dan mengeluarkan pasir dari kawasan berkenaan untuk memastikan kelancaran aliran air.
“Jadi, kemungkinan ada salah faham dan ia perlu diperbetulkan antara semua pihak berkaitan termasuklah penduduk terlibat berkaitan kerja mengeluarkan pasir itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, beberapa penduduk didakwa membuat laporan polis kerana mendakwa kerja mengeluarkan pasir dilakukan di tanah penduduk tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Jambatan Bailey di Kampung Iboi akan dinaikkan setinggi satu meter (m) daripada asal bagi memudahkan aliran air sekali gus membolehkan penduduk melalui jambatan itu.
Sementara itu, wakil penduduk, Md Shukri Abdul Rahman, 51, memberitahu, penduduk terlibat tidak membantah atau menghalang kerja mengeluarkan pasir yang dilakukan di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, penduduk berharap pihak berkaitan berbincang dengan penduduk ataupun tuan tanah berkaitan terlebih dahulu.
“Ia disebabkan ada tuan tanah merasakan kerja mengeluarkan pasir dilakukan di tanah milik mereka namun dilakukan tanpa perbincangan terlebih dahulu.
“Tidak dinafikan, ada wakil datang berjumpa penduduk untuk berbincang namun aktiviti mengeluarkan pasir didapati telah dilakukan sebelum sebarang kata putus diberikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Md Shukri berkata, beberapa tuan tanah kemudiannya membuat laporan polis pada 3 September lepas untuk memastikan kerja mengeluarkan pasir tidak diteruskan tanpa persetujuan mereka terlebih dahulu.
Pada Khamis lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan mengarahkan kerja mendalamkan Sungai Kupang dan mengeluarkan pasir dari kawasan itu dilaksanakan segera sebagai langkah untuk mengurangkan risiko banjir kilat.
Muhammad Sanusi berkata, kerja dipercayai mengambil masa lama disebabkan kapasiti tanah dan pasir yang terlalu banyak dan memenuhi sungai sehingga air berada sama paras dengan jalan.
Tambah beliau, pasir di dalam Sungai Kupang juga perlu dikeluarkan manakala pasir dilonggokkan di tepi sungai harus dibawa keluar segera bagi membolehkan kerja mendalam sungai dilakukan. -Sinar Harian
#Kampung Iboi #Najmi Ahmad #mendalamkan sungai #mengeluarkan pasir
;