Mungkin tiada bazar Ramadan di Kelantan tahun ini - MB

Bernama
Mac 29, 2020 16:45 MYT
Bagaimanapun kerajaan negeri belum memutuskan secara muktamad berhubung perkara itu dan akan menelitinya berdasarkan keadaan semasa penularan wabak COVID-19 ketika ini. - Gambar fail
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob membayangkan kemungkinan tiada bazar Ramadan di negeri ini pada tahun ini.
Beliau berkata bagaimanapun kerajaan negeri belum memutuskan secara muktamad berhubung perkara itu dan akan menelitinya berdasarkan keadaan semasa penularan wabak COVID-19 ketika ini.
"Kerajaan negeri belum memuktamadkan perkara itu namun buat masa ini, kita berpendapat tiada bazar Ramadan akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan melakukan operasi pembersihan di pasar-pasar basah di bandar Kota Bharu bermula esok selari dengan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Setakat ini, kita masih menggunakan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan pembersihan itu namun jika ada keperluan mendesak, kita akan guna khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan pula," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Yakob #coronavirus #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #koronavirus #Kota Bharu #Malaysia #Menteri Besar #Ramadan #Takiyuddin Hassan
;