Mungkin sudah tiba masanya Muhyiddin, ahli Bersatu kembali sertai UMNO - Asyraf Wajdi
Ridauddin Daud
November 29, 2020 14:24 MYT
November 29, 2020 14:24 MYT
KUALA LUMPUR : Mungkin sudah tiba masanya Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua ahli parti itu kembali bermuafakat dan bersatu di bawah pangkuan UMNO.
Pandangan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan, dasar, orientasi, pendekatan dan ideologi kedua-dua parti tiada bezanya kerana berasal dari ‘rahim’ yang sama.
Menurut beliau, jika dilihat kembali kepada objektif awal Bersatu ditubuhkan, ia lebih merujuk kepada rasa tidak puas hati dan marah kepada individu dalam kepimpinan UMNO.
“Matlamat seperti Pengerusi Bersatu dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebutkan dulu, tubuhkan Bersatu adalah untuk jatuhkan UMNO kerana diketuai pemimpin yang pada beliau terjebak dalam rasuah dan kleptokrasi.
“Jadi apabila pemimpin itu sudah tiada dan kerajaan sudah jatuh, hari ini kita bangkit semula secara bersama, apa yang berlaku, banyak perkara itu sudah tidak relevan,” katanya dalam temu bual secara Skype bersama Astro AWANI pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada Sabtu yang menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah Perikatan Nasional (PN).
Tambah beliau, sekiranya penyatuan itu dapat direalisasikan, ia dapat mencairkan dan mententeramakan semua peringkat ahli dan kerangka orang Melayu.
“Akhirnya apabila kita nak bergerak ke hadapan, kita harus melihat dengan satu jiwa yang besar, membuang dan meleburkan ego yang membelenggu diri, membenamkan sejarah hitam lampau yang masih menghantui dan mengorak langkah bersama bagi melakar satu sejarah baru bagi memenuhi citra sebenar negara hari ini.
“Asasnya mesti dibina atas faktor keindukan Melayu yang menjadi teras kepada kestabilan dan kekuatan negara.
“Saya percaya kalau kita dapat mencari formula sedemikian, semua bangsa lain yang berada dalam masyarakat majmuk negara akan mendapat manfaatnya,” ujarnya.
Tegasnya, parti Melayu tidak boleh terpisah dan terpecah dengan banyak kerana ia akan menyebabkan kerangka itu akan terlerai dan lemah.
Muhyiddin pada Sabtu dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berkata: "Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah belah dalam kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita.
"Ya, jika kita hanya memikirkan kepentingan kabilah kita, kelompok kita, parti kita, maka selama-lamanyalah kita akan berpecah belah. Seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata. Malay unity will always remain an elusive dream. It will never materialize in our lifetime," katanya.
Tambah beliau, Bersatu dan UMNO pernah menjadi seteru politik di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, (PRU14) namun telah ditakdirkan menjadi rakan sekutu sehingga tertubuhnya PN.
#UMNO
#Bersatu
#PPBM
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Pemuda UMNO
#Muhyiddin Yassin
#Mahathir Mohamad
#pilihan raya
#berebut kuasa
#kerajaan
#Melayu
#politik
#Muafakat
#MN
#PN
#Perikatan Nasional
#Muafakat Nasional