"Mungkin Maszlee ada kelemahan, itu normal" - Abang Jo

Rudi Affendi Khalik
Januari 4, 2020 16:58 MYT
Menerusi pertemuan sebelum ini, Abang Johari mengakui, hubungannya dengan Dr Maszlee sangat baik.
“Mungkin beliau ada kelemahan. Manusia mesti ada kelemahan dan itu normal.”
Itu ulasan ringkas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Khamis lalu.
Pun begitu beliau mengakui hubungannya dengan Dr Maszlee sebelum ini berlangsung baik, malah telah beberapa kali bertemu dalam kunjungan hormat bekas Menteri Pendidikan itu ke Sarawak.
“Saya telah mengadakan perbincangan yang mesra dengan beliau dan banyak yang dibincangkan terutamanya berkaitan sekolah daif.
“Daripada pertemuan itulah tercetusnya ilham agar Sarawak membayar dahulu hutang pembangunan sebelum ia digunakan kembali untuk membaik dan membina semula sekolah daif," ujar Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Blok Pandelela di P’ Residence di Batu Kawah pagi Sabtu.
BACA: Pakatan Harapan akan bincang pengganti Maszlee - Lim Guan Eng
Kata Abang Johari, Dr Maszlee menyokong pandangannya dan dari situlah kerjasama erat mereka terjalin.
Mengulas mengenai individu yang akan menjawat portfolio Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu, individu itu perlu memberi fokus kepada sektor pendidikan kerana ia menjamin kelangsungan pembangunan negara pada masa depan.
“Ia hendaklah selaras dengan dasar kerajaan yang kini sedang mengarah kepada Revolusi Perindustrian 4.0.
“Beliau perlu ada visi yang jelas berhubung hala tuju kementerian dan selepas itu, perlu menyediakan latihan yang memenuhi kehendak visi tersebut. Ini sangat penting,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama katanya, para pelajar perlu dimantapkan dari aspek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang menjadi keperluan pada masa depan.
“ Malaysia perlu fokus kepada melatih sumber manusia yang memenuhi kehendak 4.0 dan kerana itu, bagi saya Matematik dan Sains sangat penting. Malah bahasa juga penting.
"Dasar negara hendaklah ke arah itu dan beliau berharap Menteri Pendidikan yang baharu perlu mengkajinya.
Untuk rekod, Sarawak juga mempunyai Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan yang diketuai oleh Datuk Seri Michael Manyin Jawong.
#Abang Johari Tun Openg #Dr Maszlee Malik #hubungan baik #Kelemahan Maszlee #Ketua Menteri Sarawak #Sekolah daif
;