Mungkin guna MyKad, e-dompet salur subsidi RON95 - Amir Hamzah
Sinar Harian
November 5, 2024 14:55 MYT
November 5, 2024 14:55 MYT
KUALA LUMPUR: Mekanisme Mykad atau e-dompet mungkin akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kaedah itu masih dalam pertimbangan sebelum sebarang ketetapan diambil.
“Seperti mana yang dimasukkan dalam Belanjawan 2025. Kita harap kita dapat menyasarkan semula subsidi RON95 dengan menggunakan MyKad atau e-dompet.
“Ini akan menyenangkan untuk menentukan mereka yang layak menerima dan mencatu mereka yang tidak layak mendapat (subsidi RON95) agar penjimatan dapat digunakan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara.
“Ia meliputi dari segi mengurangkan hutang yang baharu dijana atau untuk meningkatkan lagi penggunaan (untuk bantuan kepada) hospital, sekolah dan sebagainya. Itulah matlamat kita,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahukan penjelasan mengenai takrifan T15 serta kaedah proses pengambilan data untuk menentukan individu layak atau sebaliknya mendapat subsidi khususnya RON95.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam masa sama turut menegaskan, 85 peratus rakyat negara ini tidak akan terkesan susulan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun depan.
Belanjawan 2025 Malaysia Madani yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.
Anwar ketika membentangkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion. - Sinar Harian