'Mungkin bagi kita satu pek makanan itu tiada apa-apa..' - Islamic Relief Malaysia
Hasimi Muhamad
Januari 21, 2021 16:04 MYT
Januari 21, 2021 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Berpengalaman selama 35 tahun dalam misi kemanusiaan dan kecemasan, Islamic Relief Malaysia (IRM) terus komited meringankan beban mereka yang terjejas susulan penularan COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, setakat ini pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada lebih 7,000 individu di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Jelas beliau, usaha berterusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu sejak ia ditubuhkan pada 1984 sekurang-kurangnya mampu mengukir senyuman kepada mereka yang terkesan.
“Mungkin bagi kita, satu pek makanan itu tiada apa-apa, tetapi bagi mereka yang sedang diuji (cukup bermakna), bukan sahaja akibat COVID-19, banjir, malah isu tidak mendapat pekerjaan.
“Kami sedia untuk terus menjadi jambatan kemanusiaan untuk memastikan senyuman ini dan semangat serta kehidupan seterusnya dapat diberikan kepada mereka.
"Ia juga sejajar dengan wawasan Islamic Relief seluruh dunia yakni untuk memudah cara bagi semua menjalankan tanggungjawab sosial, selain untuk mengupayakan orang yang kita bantu itu, pada akhirnya dia boleh mendapat peluang pekerjaan," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata agihan bantuan diberikan berdasarkan beberapa penilaian yang dibuat oleh IRM dan berbeza mengikut lokasi-lokasi tertentu di seluruh negara.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk pek bekalan asas bagi tempoh dua hingga tiga minggu; bantuan kit musala serta kit kebersihan termasuk pakaian pelindung diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan.
Selain bantuan dalam negara, IRM turut memberikan sumbangan kepada rakyat di luar negara termasuk di Bosnia, Kosovo dan Palestin.
Sehubungan itu, Zairulshahfuddin berkata, orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melayari laman sesawang https://islamic-relief.org.my/ atau hubungi ibu pejabat IRM di talian 03-8926 3434.
Terdahulu, IRM menerusi kemas kini di laman Facebook memuat naik perkongsian bantuan yang disalurkan kepada pemandu peribadi, Mohd Azman Ramli.
Menerusi kemas kini tersebut, IRM memaklumkan Mohd Azman terpaksa menyara keluarganya, selain anaknya kehilangan pekerjaan sejak PKP dilaksanakan.
"Biasanya anak saya akan bantu dari segi kewangan untuk menyara keluarga tetapi sejak COVID-19 melanda dan PKP mula dilaksanakan, dia telah diberhentikan kerja.
"Sekarang, dia terpaksa bekerja bawa Grab dan pendapatannya tidak menentu," demikian menurut entri tersebut.