Mungkin ada tangkapan lain selepas Phee Boon Poh - Azam Baki

Astro Awani
Ogos 11, 2017 18:30 MYT
AZAM: Saya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa siri tangkapan yang lain ekoran tangkapan beliau (Phee Boon Poh) ini. -Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain selepas penahanan exco kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI.
"Saya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa siri tangkapan yang lain ekoran tangkapan beliau (Phee Boon Poh) ini," katanya.
Menurut Azam, Boon Poh ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan salah guna kuasa.
Boon Poh ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes kilang haram memproses penapis karbon di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.
Sebelum itu, SPRM menyerbu pejabat Boon Poh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu mewakili DAP.
Boon Poh diberi tanggungjawab mengetuai portfolio Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar dalam kerajaan Pulau Pinang.
#ADUN #Azam Baki #DAP #kilang haram #penapis karbon #Phee Boon Poh #Seksyen 23 Akta SPRM 2009 #SPRM
;