Mulai hari ini, tak perlu lagi lekat 'roadtax' - Anthony Loke
Umavathi Ramayah
Februari 10, 2023 11:05 MYT
Februari 10, 2023 11:05 MYT
PUTRAJAYA : Bermula hari ini, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’ dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal.
Sebaliknya, pemandu boleh menggunakan mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) menerusi langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal bagi rakyat Malaysia
“Kita akan mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya,” kata beliau dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, dengan ini, peruntukan bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mengkehendaki setiap LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi dikuatkuasakan bagi kategori pemilik bawah fasa pertama itu.
Beliau berkata, dengan inisiatif itu, ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan yang disebabkan untuk memperbaharui cukai jalan dan lesan dapat dikurangkan sehingga 80 peratus malah Kementerian Pengangkutan dijangka dapat melakukan penjimatan kira-kira RM96 juta setahun.
Penjimatan itu, katanya, akan digunakan untuk menaik taraf pendigitalan dalam JPJ.
Pada masa sama, Anthony berkata, orang ramai boleh menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk memperbaharui lesen masing-masing atau membayar caj kepada pihak ketiga bagi penghantaran pelekat secara fizikal.
"Bagi mereka yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama orang seperti ahli keluarga atau rakan-rakan, mereka boleh membuat tangkap layar (screenshot) paparan aplikasi itu atau pemilik kenderaan berkenaan boleh juga mencetak paparan tersebut untuk disimpan di kenderaan itu," jelasnya.
Ditanya mengenai kemungkinan kehabisan bateri dan dengan itu pemandu tidak dapat mengemukakan dokumen terbabit menerusi telefon pintar, beliau berkata, pemandu dinasihatkan untuk mencetak dan menyimpan satu salinan di dalam kenderaan masing-masing.
"Tapi sekiranya berlaku kecemasan seperti kehilangan telefon dan pemandu gagal mengemukakan dokumen tersebut, pihak JPJ mahupun polis masih dapat membuat pemeriksaan menerusi sistem integriti yang digunakan pihak penguatkuasaan itu," jelasnya.
Bagaimanapun, kata Anthony, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, mereka masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat atau kertas LKM dan menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim, sehingga hujung tahun ini.
Isu pelekat cukai jalan menjadi perhatian orang ramai kerana didakwa tidak berkualiti kerana cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan.
Ia juga dikatakan menjadi kabur dan kurang jelas sebelum cukai jalan itu tamat manakala sisa gam melekat pada cermin kereta apabila ditanggalkan.
Orang ramai boleh menda naik aplikasi itu melalui portal awam JPJ di http://public.jpj.gov.my/ atau di aplikasi mobil MyJPJ yang boleh dimuat naik di Apple Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.