Mulai 25 Mei, 750,000 penjawat awam, 40 peratus kakitangan swasta bekerja dari rumah
Astro Awani
Mei 22, 2021 17:45 MYT
Mei 22, 2021 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Selain 80 peratus penjawat awam yang akan bekerja dari rumah, kerajaan turut memutuskan 40 peratus pekerja di sektor swasta juga akan berbuat demikian.
Berikutan peraturan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dianggarkan tujuh juta pekerja dari sektor awam dan kerajaan tidak akan ke pejabat atau premis tempat mereka bekerja.
"Bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan, 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah yang melibatkan seramai hampir 750,000.
"Selain itu, sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus. Manakala 40 peratus lagi akan bekerja dari rumah dan ini melibatkan seramai hampir 6.1 juta pekerja di sektor ini, " kata beliau.
Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu.
Menurut beliau, sekatan-sekatan yang diumumkan kerajaan itu merupakan penambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa pada 12 Mei lalu.
Arahan bekerja dari rumah itu juga, tegas beliau, akan dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuang berkuat kuasa 25 Mei.
Dalam masa sama, beliau berkata, kapasiti pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus penumpang sahaja sementara operasi perniagaan pula dihadkan sehingga pukul 8 malam.
Jelasnya, kerajaan juga meletakkan tanggungjawab kepada pihak swasta untuk memastikan penularan tidak merebak dengan mewajibkan semakan status MySejahtera ke atas semua pekerja/ pengunjung sebelum memasuki premis masing-masing.
Pihak swasta, tegas Ismail Sabri juga, perlu mewajibkan had jumlah pengunjung ke premis seperti pasaraya dan kedai serta pemeriksaan premis kerajaan dan swasta secara agresif oleh pihak agensi penguatkuasa.
"Pemeriksaan secara bersepadu (akan diadakan) bagi meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan. Semua agensi penguatkuasa yang mempunyai kuasa kompaun perlu melaksanakan pemantauan pematuhan SOP di tempat-tempat awam atau tempat yang berkaitan dengan tugas mereka.
"Mempertingkatkan pengoperasian ops pada hari bercuti atau hujung minggu oleh agensi bukan keselamatan tidak tertumpu pada hari bekerja sahaja selain SOP lebih lanjut bagi semua sektor ekonomi akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)," jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga akan menggunakan sistem pengecaman lokasi panas untuk libat urus dinamik (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti pusat membeli belah dan kawasan perkilangan.
Tegasnya, setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko dan libat urus, kawasan yang didapati masih berisiko tinggi akan ditutup serta-merta.
#kakitangan swasta
#penjawat awam
#Bekerja Dari Rumah
#work from home
#40 peratus
#pengangkutan awam
#Operasi perniagaan
#ismail sabri yaakob