'Mula-mula rasa tak sedap hati, tengok-tengok anak dah mati tergantung'

Sinar Harian
Mac 28, 2018 09:58 MYT
Mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh disahkan meninggal dunia. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat terjerut tali pengikat langsir di kediamannya di Halaman Meru Impian, Meru Raya, petang Selasa.
Kejadian jam 2.15 petang itu berlaku ketika mangsa, berusia dua tahun tiga bulan bermain seorang diri di bahagian ruang tamu rumah.
Ketika kejadian, anak bongsu daripada dua beradik itu tinggal bersama ibu tiri, bapanya berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pensyarah keluar atas urusan kerja sementara anak sulung berusia lima tahun berada di tadika.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sebelum kejadian, kanak-kanak itu ada meminta makanan dan ibu tiri berusia 30 tahun memberikannya biskut sebelum meninggalkan mangsa untuk memasak.
"Wanita itu bagaimanapun mula rasa tidak sedap hati kerana anaknya senyap, dia kemudiannya melihat di ruang tamu dan dapati mangsa berada dalam keadaan tergantung di tali yang digunakan untuk menggantung langsir ke sisi.
"Mangsa ketika diturunkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata, wanita itu cuba menyelamatkan anaknya melalui bantuan pernafasan, namun denyutan nadi mangsa begitu lemah.
Mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh disahkan meninggal dunia.
"Siasatan awal mendapati, mangsa berkemungkinan berada di kawasan tangga yang terletak bersebelahan dengan pintu dapur sebelum bermain di tali pengikat langsir yang menutup ruang masuk ke dapur berkenaan," katanya.
Hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 6.55 petang tadi mendapati, kematian mangsa akibat tergantung.
#Halaman Meru Impian #kanak-kanak lelaki #meninggal dunia #Meru Raya #tali pengikat langsir #terjerut
;