Mula bersih rumah, penduduk Bekok bimbang banjir lagi
Bernama
Mac 5, 2023 04:47 MYT
Mac 5, 2023 04:47 MYT
SEGAMAT: Meskipun sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, penduduk sekitar Kampung Bekok di sini yang dilanda banjir Rabu lepas, masih dalam keadaan berjaga-jaga.
Penduduk, Jamilah Abdul Wahab, 62, yang tinggal di Rumah Rakyat Bekok berkata ketika Sungai Bekok melimpah pagi Rabu, beliau hanya sempat mengalihkan kereta dan dokumen penting.
"Walaupun kerja pembersihan (sudah mula) dilakukan tetapi kami penduduk masih berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku banjir kedua, ditambah lagi keadaan cuaca hujan ketika ini, kita takut kejadian sama berulang lagi," katanya kepada Bernama pada Ahad.
Jamilah berkata rumahnya terletak berhampiran dengan Sungai Bekok iaitu kira-kira 200 meter dan paras air sungai ketika ini masih tinggi.
Seorang lagi penduduk Yap Ye Yui, 50 tahun, berkata kerja-kerja pembersihan dilakukan secara sederhana kerana bimbang akan berlaku banjir kedua.
Rumah Yap yang terletak kira-kira 100 meter dari Sungai Bekok dinaiki air hingga paras paha dalam kejadian banjir pada Rabu.
"Rumah ini didiami bapa mentua dan saya jarang pulang ke sini. Ketika kejadian, tiada siapa di rumah dan semua barang tidak sempat diselamatkan," katanya yang menjangkakan mengalami kerugian ribuan ringgit.
Tinjauan Bernama di Rumah Rakyat Bekok di sini, yang merupakan antara lokasi teruk mengalami banjir, mendapati penduduk sudah mula membersihkan rumah dan banyak barangan serta peralatan rosak diletakkan di hadapan rumah.
Sebuah jambatan yang menjadi jalan pintas kepada penduduk untuk ke Jalan Chan Wing Estet-Paloh dan Kluang, Johor juga ditutup kerana berlaku keretakan.
-- BERNAMA