Muktamar PAS terima usul himpunan besar-besaran menentang GST

Haider Yutim
November 23, 2013 22:57 MYT
Muktamar PAS hari ini meluluskan usul untuk mengadakan himpunan besar-besaran melibatkan semmua parti-parti politik Pakatan Rakyat dan NGO bagi mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Usul tersebut telah diterima oleh seluruh perwakilan Muktamar dengan sebulat suara apabila diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat, Hussin Ismail.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila mencadangkan usul tersebut berkata pelaksanaan GST akan membebankan rakyat kerana hanya tidak semua rakyat mampu membayar cukai.
Katanya apabila GST dilaksanakan, kerajaan akan memungut lebih RM 70 bilion daripada rakyat.
"Maka Muktamar yang diadakan hari ini mencadangkan agar satu himpunan rakyat diadakan secara besar-besaran dengan pengembelingan semua parti-parti politik Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak bagi membongkar segala penyelewengan sebagaimana laporan audit serta membantah dan mendesak kerajaan mnarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA," kata Mohamad.
Usul tersebut disokong oleh perwakilan PAS dari negeri Perak Dr Khairuddin Abd Malik, Perwakilan Dewan Ulamak Dr Khairuddin Aman Razali, Perwakilan Bandar Tun Razak Dr Rosni Adam, Perwakilan Johor Zulkifli Ahmad dan Perwakilan Negeri Sembilan Khairul Azidi Ishak.
Dr Khairuddin dalam ucapan sokongannya turut mencadangkan beberapa perkara sebagai tambahan termasuk PAS Pusat perlu ketuai satu gerakan nasional yang berisfat massa menggabungkan parti-parti politik dan NGO bagi menangguhkan pelaksanaan GST.
Beliau juga mencadangkan agar satu sekretariat khas di bawah lajnah ekonomi diwujudkan di peringat nasional dan perhubungan negeri bagi memaklumkan rakyat berkenaan GST.
Selain itu beliau turut mencadangkan agar gesaan dibuat terhadap kerajaan supaya jangan mengenakan cukai selagi isu ketirisan dan rasuah tidak ditangani.
Usul itu dibuat berikutan Laporan Audit Negara yang disifatkan PAS telah mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salahlaku yang sangat serius tahun melibatkan dana berbillion ringgit.
"Menyedari pelbagai bebanan dipaksakan ke atas rakyat seperti cukai gst yang akan membebankan, kenaikan harga barangan, pemotingan sabsidi dan lainnya telah mendedahkan rakyat kepada bebaban ekonomi yang serius serta peningkatan kadar inflasi negara," kata Mohamad.
PAS juga membuat gesaan tersebut kerana menurut mereka, cukai GST adalah bercanggah dengan prinsip percukaian Islam serta membawa kepada kezaliman.
Selain itu, PAS turut menyifatkan GST dan TPPA sebagai satu bentuk penjajahan ekonomi oleh kuasa besar di mana negara akan bakal berhadapan dengan pelbagai peraturan yang merugikan rakyat.
#besar-besaran #GST #himpunan #Muktamar #PAS #usul