Mukim Klang dikenakan PKPB, ini operasi yang masih dibenarkan beroperasi

Faris Danial Razi
Oktober 8, 2020 18:08 MYT
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di Selangor mulai tengah malam ini hanya melibatkan mukim Klang. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di Selangor mulai tengah malam ini hanya melibatkan Mukim Klang.
Tambahnya, ia tidak melibatkan kawasan lain seperti Pelabuhan Klang dan Kapar.
“Semalam, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Klang yang akan berkuatkuasa pada 9 Oktober 2020.
“Setelah mendapat nasihat daripada KKM dan berbincang dengan YAB Menteri Besar Selangor, mesyuarat bersetuju PKPB di Klang adalah di Mukim Klang.
“Walau bagaimanapun, kerajaan masih berbincang dengan kerajaan negeri Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat dan akan mengumumkan setelah ianya ditentukan,” jelas Ismail Sabri dalam sidang media pada Khamis.
Bagi memastikan kegiatan ekonomi dan bekalan barangan serta makanan tidak terjejas, ini antara ekonomi yang dibenarkan beroperasi:
Pasar Borong bermula jam 4.00 pagi sehingga 2.00 petang
Pasar Biasa bermula jam 6.00 pagi sehingga 2.00 petang
Pasar Tani bermula jam 6.00 pagi sehingga 12.00 tengahari
Walau bagaimanapun, operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan.
BACA: COVID-19: Senarai sekolah ditutup di daerah Klang
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Kedai-kedai makan, gerai dan warung juga boleh dibuka tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away sahaja.
Selain itu, pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-hailing dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.
Tambah Ismail Sabri, senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan oleh MITI dalam masa terdekat.
#ismail sabri yaakob #Menteri Besar #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Klang #ekonomi #perintah kawalan pergerakan #MITI #operasi
;