Muka seiras bekas isteri, bapa cucuh anak dengan api rokok

Muhafandi Muhamad
November 24, 2017 17:10 MYT
Nurul Hazwani membuat laporan polis dan meminta bantuan untuk mengambil anak kesayangannya itu dirumah suaminya di Kampung Terap Bukit Marak, Kota Bharu padsa Sabtu lalu. - Gambar Astro AWANI.
Tidak berperikemanusian!!
Demikian perumpamaan yang wajar diberikan kepada seorang bapa apabila sanggup mencucuh api rokok ke beberapa bahagian badan anak kandung perempuannya di rumah mereka di Kampung Terap, Bukit Marak di sini.
Bukan setakat itu, lelaki yang berusia 31 tahun itu turut memukul serta menoreh anggota badan kanak-kanak malang berkenaan dengan pisau hingga meninggalkan parut.
Perbuatan kejam tersebut dipercayai dilakukan lelaki terbabit hanya disebabkan dendam ekoran muka mangsa yang berusia lapan tahun itu menyerupai muka bekas isteri suspek.
Akibat penderaan itu, mangsa mengalami kecederaan di kaki, badan dan kepala selain trauma.
Ibu kandung mangsa, Nurul Hazwani Shahferi, 27 berkata dia mengetahui anaknya itu didera selepas menerima mesej dan sekeping gambar keadaan anaknya menerusi aplikasi Whatsapp yang dikirim oleh bekas adik iparnya.
Bekas adik iparnya turut meminta Nurul Hazwani segera mengambil anaknya kerana kanak-kanak itu hidup dalam kesakitan selain ketakutan.
"Hati mana yang tidak luluh apabila melihat anak diperbuat seperti itu. Saya terus membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian untuk mengambil anak dengan bantuan anggota polis di rumah bekas suami.
"Dia (bekas suami) bertindak demikian kerana berdendam dengan saya akibat perceraian tiga bulan lalu serta muka anak perempuan kami serupa wajah saya," katanya ketika ditemui di Kampung Lepar Limbat, Pasir Tumboh di sini hari ini.
Tambah Nurul Hazwani, lebih menyakitkan hati bekas suaminya itu apabila dia enggan menerima lelaki itu kembali selepas diceraikan dengan talak tiga.
"Saya tidak mahu rujuk dengan dia semula kerana dia (bekas suami) kerap memukul selain tidak tahan dengan sikap panas barannya," kata wanita itu lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, suspek yang positif dadah ditahan Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#API #Bapa dera anak #cucuh api rokok #Dadah #dera #Kampung Terap Bukit Marak #Kanak-kanak #kanak-kanak malang #Kelantan #Kota Bharu #lelaki #mangsa #polis #pukul #rumah #siasatan #suspek #toreh #trauma #wanita
;