Muka depan hitam putih di akhbar tempatan tanda berkabung

Astro Awani
Mei 29, 2014 08:53 MYT
Muka depan akhbar-akhbar tempatan hari ini
Akhbar-akhbar tempatan hari ini memilih untuk menggunakan warna hitam putih sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Utusan Malaysia menggunakan tajuk "Sultan Azlan Mangkat" dan memuatkan gambar-gambar baginda antaranya ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong dan Ketua Hakim Negara.
Akhbar itu juga memuatkan tujuh peringatan Sultan Azlan sempena majlis kesyukuran 30 Tahun pemerintahan baginda pada 3 Februari 2014 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.
Antara peringatan Baginda ialah berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.
Baginda juga mengingatkan supaya menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al An?Aam;
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu"
Tujuh peringatan Sultan Azlan itu juga turut dimuatkan oleh akhbar Berita Harian.
Akhbar itu juga menyifatkan baginda sebagai bukan sahaja menjadi pemerintah yang adil dan saksama, malah pandangan bernas baginda sentiasa menjadi pedoman kerajaan dan rakyat dalam pentadbiran berkerajaan, politik, ekonomi dan sosial.
"Perginya Sultan Berjiwa Rakyat" merupakan tajuk yang dipilih oleh akhbar Sinar Harian yang turut menyifatkan baginda sebagai pemerintah adil dan bijaksana.
Akhbar The Star memilih tajuk "Gloom Over Perak" sebagai gambaran kesedihan seluruh rakyat Perak atas kemangkatan Sultan Azlan.
Manakala akhbar New Straits Times dan Malay Mail meletakkan gambar Sultan Azlan dengan tahun lahir baginda hingga tahun ini sebagai tajuk utama.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini.
#akhbar tempatan #mangkat #Sultan Azlan
;